Pilihanraya Kecil DUN N.29 Batang Ai, Sarawak

EXCLUSIVE : CONFESSIONS OF FORMER PAKATAN RAKYAT EXCO

Monday, April 6, 2009

PENDUDUK SABAH, SARAWAK BERPELUANG

Bernard Dompok sempat bersalaman dengan penghuni Rumah Saong, Serubah Ulu.

LUBOK ANTU, Isnin: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Bernard Dompok berkata pencari pekerjaan di sektor awam dari Sabah dan Sarawak akan berpeluang untuk dilantik mengisi jawatan anggota pentadbiran di pelbagai jabatan persekutuan.


Selain itu, pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dari dua negeri tersebut juga akan diberikan pengagihan bilangan tempat untuk biasiswa kerajaan persekutuan sebanyak 10% untuk membolehkan mereka melanjutkan pelajaran ke luar negara.


Dompok berkata demikian pada Majlis Mesra Rakyat ajuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (KEMAS) Sarawak di Rumah Saong, Serubah Ulu di sini hari ini.


Bernard Dompok (kanan sekali) sedang melihat hasil kraftangan yang dihasilkan penghuni rumah panjang Serubah Ulu sambil diiringi oleh Salang Gandum (kiri) , Billy Abit (Dua dari kiri) dan juga John Sikie (Sedikit terlindung).

’Bilangan pegawai yang dilantik ke jabatan persekutuan akan berasaskan bilangan suku kaum di Malaysia dan pemberian kuota khas sebanyak 5% masing-masing kepada pelajar cemerlang lepasan SPM dari Sabah dan Sarawak akan menjadikan negara ini benar-benar satu Malaysia’, tegas beliau.

Dompok turut mengingatkan agar para pengundi di Batang Ai terus menyokong calon BN pada 7 April ini kerana kerajaan sedia ada tetap akan terus berkuasa walaupun pembangkang menang.

’Adalah senang untuk menjadi pembangkang kerana kita hanya mengeluarkan kenyataan untuk menentang kerajaan kepada rakyat. Tetapi jangan lupa yang sekarang hanyalah pilihan raya kecil dan ianya tidak akan mengubah kerajaan sedia ada,’ kata beliau lagi.


Berucap sama di majlis tersebut ialah Datuk Joseph Salang Gandum, Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Ahli Parlimen Hulu Rejang, Datuk Billy Abit Joo dan ADUN Balai Ringin, Snowdan Lawan.Turut hadir di majlis tersebut ialah ADUN Kakus, John Sikie Tayai dan wakil Pengarah KEMAS Sarawak, Asrol Philip.

PKR Julau ranap

LUBOK ANTU:- Pucuk pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) kawasan Julau ranap ekoran perletakan jawatan pengerusinya, Dr Ambrose Labang Jamba dan tiga ahli jawatankuasa parti itu.

Kecewa dengan ketidakupayaan parti pembangkang yang berpusat di Semenanjung Malaysia membawa pembangunan kepada penduduk luar bandar Sarawak, maka itu mereka memutuskan untuk menyokong calon Barisan Nasional (BN) pilihan raya kecil Batang Ai.

Labang, 56 tahun, timbalannya Wong Kee Kai, setiausaha parti Kajang Unan dan ahli jawatankuasa Kundi Untung mengumumkan perletakan jawatan mereka dari PKR di hadapan Datuk Joseph Salang Gandum bertempat di Bilik Gerakan Barisan Nasional (BN) di sini.

Labang memberitahu wartawan yang mereka telah pun memutuskan untuk meninggalkan PKR kerana parti itu tidak mungkin dapat menjalankan program-program pembangunan atau membantu rakyat, terutamanya di kawasan luar bandar.
Sumber: The Borneo Post, 6 April 2009

Tindakan menyeberang parti memberikan peluang cerah kepada parti BN

LUBOK ANTU:- Pucuk pimpinan Parti Barisan Nasional (BN) melihat perubahan hati bekas-bekas ahli PKR sebagai petunjuk positf pada pilihan raya kecil Batang Ai kali ini.

YAB Ketua Menteri, Pehin Sri Taib Mahmud menganggap tindakan Dr Ambrose Labang Jamba dan orang-orangnya sebagai satu tindakan mulia kerana mereka akhirnya menyedari bahawa propaganda PKR tidak bersesuaian dengan perjuangan politik mereka sendiri.

Taib, yang juga pengerusi BN Negeri, menegaskan yang bekas ahli-ahli PKR ini telah sedar bahawa hanya parti komponen yang mampu membawa perubahan ke Batang Ai.
Sumber; The Borneo Post, 6 April 2009

Berhentilah mempolitikkan isu tanah, tegas Taib

LUBOK ANTU:- Sudah sampai masanya untuk kita berhenti mempolitikkan isu tanah dan sebaliknya berikan perhatian kepada penggunaannya bagi memperolehi pendapatan untuk kesenangan semua pihak, tegas Pehin Sri Taib semalam.

Tegas beliau, kekerapan mempolitikkan isu-isu tanah telah memalapkan usaha-usaha kerajaan untuk mempertingkatkan taraf kehidupan penduduk terutamanya masyarakat luar bandar.

“Tanah tidak akan menghasilkan apa-apa pendapatan sekiranya ia hanya digunakan sebagai isu-isu politik,” beritahu beliau kepada wartawan selepas majlis pecah tanah tapak pembinaan Pusat Giat Mara sebagai salah satu kempen kemuncak BN bagi menghadapi pilihan raya kecil Batang Ai.

“Tanah telah sekian lama dijadikan isu politik. Sejak bertahun lamanya terdapat banyak tanah kosong di sini tetapi malangnya ia tidak mengeluarkan banyak hasil. Adalah lebih baik kiranya penduduk di sini bersama-sama menyertai skim pembangunan tanah,” tegas Taib, yang juga Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber.
Sumber: The Borneo Post, 6 April 2009

Saya bukannya ’pak turut’, tegas calon Barisan Nasional (BN)

LUBOK ANTU:- Calon Barisan Nasional (BN) Malcolm Mussen Lamoh menegaskan yang beliau tak sabar-sabar untuk membuktikan bahawa tuduhan yang dilemparkan oleh pengkritiknya terhadap beliau adalah salah belaka sekiranya beliau memenangi Pilihan Raya Kecil Batang Ai, 7 April ini.

Beliau menegaskan, beliau akan membuktikan kepada semua pihak bahawa beliau bukannya seorang ‘pak turut’ sepertimana anggapan kebanyakan pengkritik terhadapnya.

“Saya bukannya ‘pak turut’. Saya seorang yang terlatih secara teknikal dan mempunyai pemikiran saya sendiri.” kata beliau kepada wartawan semasa majlis pecah tanah projek Pusat Giat Mara di sini yang disempurnakan oleh YAB Ketua Menteri Sarawak, Pehin Sri Taib Mahmud.
Sumber: The Borneo Post, 6 April 2009

Para pengundi diminta agar tidak mempercayai isikandungan risalah, cakera padat (CD)

LUBOK ANTU:- Para pengundi Lubok Antu dinasihati agar tidak terpengaruh dengan isi kandungan risalah, cakera padat yang mengandungi elemen-elemen negatif.

Menurut Menteri Perancangan dan Pengurusan Sumber II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, kandungan risalah-risalah dan cakera padat ini, antara lainnya menegaskan para pengundi tidak perlu membawa kad pengenalan bersama-sama mereka ketika hendak membuang undi.

Risalah dan cakera padat itu juga memberitahu kerajaan telah bertindak mengusir penduduk Rumah Nyawin di Bintulu.

Menurut Datuk Amar Awang Tengah, kandungan berkenaan adalah pembohongan semata-mata yang disebarkan oleh sesetengah pihak bertujuan untuk mencemarkan nama baik kerajaan dan mengelirukan rakyat.
Sumber: The Borneo Post, 6 April 2009

Masing mempersoalkan laporan interim MAFREL

LUBOK ANTU:- Pasukan pemerhati Malaysians For Free and Fair Elections (MAFREL) dipersoalkan kerana tidak bersikap adil dalam laporan pemerhatian pilihan raya kecil Batang Ai.

Ianya kerana laporan interim baru-baru ini hanya meliputi salah laku pihak Barisan Nasional (BN) dan bukannya pihak pembangkang.

Menurut Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS), Dato Sri Dr.James Masing menegaskan MAFREL sepatutnya melaporkan insiden di mana pihak pembangkang bertindak mengoyak dan merosakkan bendera BN.

Menurut beliau lagi, salah satu papan iklan BN yang terletak di simpang jalan menuju ke Empangan Hidro Batang Ai telah dirosakkan dan laporan polis telah pun dibuat berhubung kejadian ini.
Sumber:The Borneo Pt, 6 April 2009

Tiada pengundi hantu di Batang Ai, yang ada cuma mereka yang telah meninggal dunia, kata Syed Hamid

LUBOK ANTU:- Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamdi Albar menafikan sekeras kerasnya kewujudan pengundi hantu dalam daftar pemilih bagi pilihan raya kecil Batang Ai.

Menurut beliau kewujudan nama-nama para pengundi yang telah meninggal dunia ini dalam daftar pemilih adalah kerana senarai berkenaan tidak dikemaskini oleh pihak yang berkenaan, dan bukan kerana ianya disediakan oleh pihak Barisan Nasional (BN) untuk tujuan memenangi pilihan raya.

“Janganlah percaya cerita mengenai pengundi hantu ini. Kami dalam Barisan Nasional (BN) tidak perlu mewujudkan pengundi hantu untuk memenangi pilihan raya.

“Kami menang pilihanraya adalah kerana majoriti penduduk di sini menyokong kami (BN). Mereka (para pengundi) tahu yang kami patut menang kerana kami mesra rakyat, sedia mendengar rintihan dan keluhan mereka dan berupaya melaksanakan projek-projek pembangunan,” kata beliau kepada wartawan di Rh. Kaong Ili, di sini semalam.
Sumber: The Borneo Post, 6 April 2009

Undi BN untuk mendapatkan pembangunan

Batang Ai, 05hb:- Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) cawangan Julau, Ambrose Laban berkata PKR tetap tidak berbuat apa-apa sekiranya menang di kerusi Dewan Undangan Negeri Batang Ai pada pilihan raya kecil kali ini.

Tambah beliau, masyarakat Dayak dan Iban tidak harus mengundi parti pembangkang kerana masyarakat ini masih hidup dalam kemiskinan. Oleh itu,beliau menyeru mereka menyokong Barisan Nasional (BN) untuk mendapatkan lebih pembangunan dan memberi kehidupan yang baik kepada mereka.

Tegas Ambrose yang kecewa dan menyesal kerana menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Sumber: See Hua Daily News, 06 April 2009

Industri Pasu Iban Bakal Jana Pendapatan Penghuni Rumah Panjang

Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan akan membangunkan industri pembuatan "Nuan" atau pasu Iban di Rumah Panjang (Rh) Ngumbang di Nanga Sumpa di sini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini menyampaikan peruntukan permulaan berjumlah RM46,000 untuk memulakan industri itu pada majlis penutup bengkel bimbingan teknikal pasu Iban yang diadakan di rumah panjang itu, satu penempatan agak terpencil di sini yang hanya dapat dihubungi melalui jalan sungai.

Peruntukan berkenaan sebahagian besarnya akan digunakan untuk membina sebuah bengkel seramik sementara sebahagian lagi untuk membangunkan kraf seramik.

Berucap dalam majlis itu, beliau berkata kementerian akan menyalurkan bantuan susulan termasuk membeli kraftangan yang dihasilkan oleh penduduk rumah panjang berkenaan untuk dipasarkan ke luar negeri.

Katanya projek itu merupakan inisiatif kementerian untuk memelihara warisan tradisi masyarakat Iban di samping menjadi satu lagi cara bagi penduduk Rh Ngumbang menjana pendapatan mereka.

Mohd Shafie berkata dalam usaha untuk mengekalkan warisan masyarakat Iban ini, golongan muda perlu dilatih untuk terus mengamalkan budaya dan menghasilkan produk-produk kraf yang melambangkan identiti bangsa mereka.

Katanya usaha kementerian adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk memastikan tiada kaum diabaikan di negara ini.

Seramai 20 belia dari sekitar Nanga Sumpa menyertai bengkel sejak 3 April lepas yang bertujuan untuk memahirkan diri mereka dalam teknik pembuatan pasu Iban.

Seorang tokoh pembuat pasu Iban dari Batang Ai, Andah Lemang dilantik sebagai jurulatih bengkel berkenaan.

-- BERNAMA