Pilihanraya Kecil DUN N.29 Batang Ai, Sarawak

EXCLUSIVE : CONFESSIONS OF FORMER PAKATAN RAKYAT EXCO

Sunday, April 5, 2009

BN pilihan majoriti rakyat

LUBOK ANTU: Barisan Nasional (BN) akan meneruskan projek-projek pembangunan jangka panjang bagi meningkatkan taraf hidup rakyat bukannya hanya membuat janji kosong dan melaksanakan ‘projek mi segera’.

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata ia adalah kunci utama kejayaan BN selama ini dan disebabkan itu ia kekal menjadi pilihan majoriti rakyat.

“Kerajaan BN sentiasa melihat kepada keperluan rakyat dan mengemukakannya kepada kementerian berkaitan, bukan hanya membuat janji-janji kosong cuma untuk memenangi hati rakyat.

“Segala yang kita buat mempunyai kesan jangka panjang. Kita tidak pernah melakukan projek ‘mi segera’ ,” katanya ketika merasmikan program ‘Segulai Sejalai’ di Rumah Endawie, Nanga Jela, semalam.

Justeru Shafie mengingatkan rakyat di Batang Ai yang layak mengundi dalam pilihan raya kecil Selasa ini agar tidak terpedaya dengan politik pembangkang.

“Mereka akan menjanjikan anda bintang dan bulan sebelum pilihan raya tetapi akhirnya tidak ditunaikan kerana mereka asyik berpolitik antara satu sama lain setiap hari,” ujarnya.

Shafie berkata jika calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) Jawah Gerang menang dalam pilihan raya kecil Batang Ai, beliau tidak dapat membawa pembangunan kepada rakyat di kawasan itu kerana dana pembangunan kerajaan pusat hanya untuk wakil rakyat BN.

“Jawah juga tahu tidak banyak yang boleh beliau lakukan sebagai pembangkang. Malah jika beliau berjumpa saya untuk mendapat dana bagi kawasannya, saya tidak boleh beri wang kepadanya kerana beliau pembangkang,” kata Shafie.

Bagaimanapun, katanya jika calon BN Malcolm Mussen Lamoh, perkara seperti itu tidak akan wujud.

“Cuba lihat apa yang berlaku di Selangor yang kini dipegang PKR dan Pulau Pinang dipimpin Parti Tindakan Demokratik (DAP), kedua-duanya tidak dapat membawa pembangunan kerana kerajaan pusat di bawah BN,” jelasnya.

Shafie menambah kata, Mussen yang partinya me-wakili rakyat tempatan, Parti Rakyat Sarawak (PRS) sudah tentu lebih memahami keperluan rakyat berbanding parti lain yang datangnya dari Semenanjung Malaysia.

Beliau yang bercakap kepada wartawan selepas itu berkata kerajaan BN telah mengekalkan keamanan, perpaduan serta keharmonian sejak bertahun-tahun dulu dan pada masa sama memastikan ekonomi negara terus berkembang maju walaupun ketika ini dunia berdepan masalah ekonomi.

Menurutnya di beberapa negara seperti Iceland dan Greece, ramai yang muflis tetapi kerajaan Malaysia berjaya mengurangkan kesan kemelesetan ekonomi global.
“Ini petanda jelas bahawa BN adalah kerajaan yang berkemampuan dan mengambil berat kebajikan rakyat.

“Justeru saya mahu rakyat di sini memberi sokongan dan mengundi Mussen. Tambahan kerajaan tidak pernah mengabaikan sebarang kumpulan kaum walaupun ada segelintir pihak mendakwa begitu,” ujarnya.

Tambahnya lagi, Batang Ai pernah dipimpin pembangkang tetapi tiada pembangunan dibawa di situ tetapi selepas BN mengambil alih pembangunan fizikal begitu rancak di situ.

Hadir sama dalam majlis itu Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Mohd Naroden Majais, Ahli Dewan Undangan Negeri Bukit Begunan, Mong Dagang dan Tuai Rumah Endawie Janting.

Borneo Post

No comments:

Post a Comment