Pilihanraya Kecil DUN N.29 Batang Ai, Sarawak

EXCLUSIVE : CONFESSIONS OF FORMER PAKATAN RAKYAT EXCO

Sunday, April 5, 2009

Tiga Lagi Menara Komunikasi Bagi Lubok Antu

LUBOK ANTU, 4 April (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan membina tiga lagi menara komunikasi di sini untuk meningkatkan liputan perkhidmatan telefon selular, kata Timbalan Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Joseph Salang hari ini.

Beliau berkata menara itu akan dibina di San Semanju, Fasa 2 Skim Penempatan Batang Ai dan Engkilili, menjadikan kesemuanya tujuh menara di kawasan itu."Ia dijangka siap menjelang pertengahan tahun ini untuk meningkatkan liputan perkhidmatan telefon selular dan meningkatkan jumlah pelanggan," katanya semasa melancarkan bengkel ICT dan program Internet "Cyberkids" di SK Lubok Antu, di sini.

Sekumpulan 20 pelajar dari sekolah itu menyertai program dua hari itu bermula hari ini yang dianjurkan oleh kementerian itu dengan kerjasama syarikat penyedia perkhidmatan, Maxis.Salang memberi jaminan kepada penduduk luar bandar bahawa kerajaan akan terus menyediakan lebih banyak infrastruktur ICT dan Internet di negeri itu untuk merapatkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar.

Kemudiannya ketika bercakap kepada pemberita, beliau berkata dengan perkhidmatan jalur lebar dan Internet yang terbatas di kawasan pedalaman di sini, beliau yakin penulis blog terutama mereka yang mempunyai kecenderungan anti pembangunan, tidak mampu memberikan impak besar dalam pilihan raya kecil Batang Ai pada Selasa ini.

"Perang siber masih belum meluas di sini dan pendekatan secara bersemuka masih menjadi pilihan dalam meraih sokongan pengundi. Di Lubok Antu, saya anggarkan hanya kira-kira 10 peratus penduduk yang terdedah (dengan kemudahan Internet)," katanya.

Salang berkata beliau percaya hanya masyarakat Dayak yang tinggal di bandar mempunyai akses kepada kemudahan itu boleh dan dapat mempengaruhi saudara mara mereka di luar bandar apabila setiap kali mereka pulang ke kampung.Pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri Batang Ai menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Malcolm Mussen Lamoh dari Barisan Nasional (BN) dan Jawah Gerang dari Parti Keadilan Rakyat (PKR). Kerusi itu kosong berikutan kematian wakil rakyat BN Datuk Dublin Unting Inkot pada Februari.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment