Pengundi berdaftar dari kaum Melayu yang berjumlah hanya 117 berbanding 8,006 orang pengundi di Batang Ai boleh menjadi faktor penentu kemenangan dalam pilihan kecil di kawasan pedalaman itu.
Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) Sarawak Fadillah Yusof berkata setiap undi dari kaum minoriti ini adalah penting memandangkan pilihan raya pada 7 April itu dijangka sengit.
"Malah peluang untuk menang di Batang Ai adalah 50-50, tiada pihak yang boleh mengaku berada pada kedudukan selesa.
Itu sebabnya BN tidak memandang ringan usaha untuk memenangi hati setiap pengundi di sini, termasuk dari kaum Melayu," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Kampung Melayu di sini.
Kaum Iban merupakan majoriti pengundi berdaftar di kawasan Dewan Undangan Negeri itu dengan 7,608 orang, atau 95.03 peratus, namun pemerhati politik menjangka sokongan mereka akan terbahagi dua buat BN dan PKR.
BN menurunkan muka baru Malcolm Mussen Lamoh untuk berhadapan dengan ahli politik veteran Jawah Gerang dari PKR dalam pilihan raya kecil yang diadakan ekoran kematian penyandang Datuk Dublin Unting Ingkot pada 24 Feb lepas.
Fadillah yang juga Ketua Pemuda Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memberitahu Bernama bahawa kaum Melayu yang menunjukkan sokongan padu kepada BN di sini sejak sekian lama, tidak akan mudah terpengaruh dengan taktik pembangkang membawa pemimpin-pemimpin dari luar Sarawak untuk memujuk mereka.
"Pengundi dari kaum Melayu ini berkongsi sentimen BN dan yakin hanya BN satu-satunya parti yang berjuang untuk rakyat," katanya.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment