Pilihanraya Kecil DUN N.29 Batang Ai, Sarawak

EXCLUSIVE : CONFESSIONS OF FORMER PAKATAN RAKYAT EXCO

Wednesday, April 1, 2009

Peniaga Lubok Antu Terima Rahmat Pilihan Raya Kecil

Oleh Caroline JacksonLUBOK ANTU, 31 Mac (Bernama) -- Para peniaga di Lubok Antu menjadi pihak yang paling beruntung dalam keadaan seperti karnival dan penuh dengan poster ketika kehangatan kempen pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai.

Pemimpin masyarakat Pemanca Tay Ban Cho berkata bazar di keliling kampung yang kebanyakannya kedai milik orang Cina kelihatan begitu maju berikutan kebanjiran pelawat ke kawasan itu sejak beberapa minggu lepas.

"Perniagaan sangat baik dan saya harap kesan yang dirasai ini akan berterusan selepas pilihan raya kerana orang ramai masih boleh melawat Empangan hidroelektrik Batang Ai, resort rumah panjang Batang Ai dan air terjun Wong Merah," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Tay, yang merupakan Penolong Setiausaha Parti Rakyat Sarawak (PRS) Batang Ai, melawat bazar Lubok Antu serta dua kampung Cina di DUN tersebut di mana masyarakatnya seramai 2,408 daripada keseluruhan 22,270 penduduk.

Menurut pemerhati politik, walaupun hanya 274 orang daripada komuniti itu adalah pemilih berdaftar, mereka boleh menjadi penentu pada pilihan raya 7 April ini antara calon Barisan Nasional (BN) Malcolm Mussen Lamoh dan Jawah Gerang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR).

"Kami gembira tinggal bersebelahan dengan masyarakat Iban yang menjadi penduduk majoriti, malah kami fasih bercakap bahasa mereka," kata Tay, sambil menambah bahawa masyarakat Cina di sini menyokong kerajaan kerana projek pembangunan di kawasan itu telah memberi kesan kepada ekonomi mereka.

"Kerajaan melakukan kerja yang bagus, terutama projek untuk menyelaraskan harga minyak di rumah panjang dengan penduduk di bandar pada harga RM1.80 seliter bagi petrol dan RM1.70 bagi diesel," kata Tay, yang turut mengusahakan stesen minyak.

Beliau menafikan dakwaan bahawa hanya penduduk dengan kad BN boleh membeli komoditi itu di Lubok Antu manakala anggota PKR dan penyokongnya diketepikan.

Pasangan kembar -- Thu Siew Kiau dan Thu Siew Fang -- berkata kedai kopi yang mereka uruskan begitu menguntungkan kerana muka-muka yang tidak dikenali tidak kisah untuk mencuba makanan tempatan seperti mi kolo dan belacan goreng midin.

Orang luar termasuk kakitangan kerajaan, anggota polis, anggota media dan pekerja pilihan raya serta pekerja parti dari Semenanjung dan Sabah juga boleh dilihat tertumpu di kedai-kedai cenderamata yang menawarkan barang antik dan kraftangan Borneo yang jarang ditemui.

Mussen, ketika berkempen di pasar Lubok Antu malam tadi, berkata masyarakat Cina walaupun minoriti di Batang Ai, tidak pernah diketepikan kerana kerajaan memberikan perhatian secara berterusan supaya mereka mendapat peluang seperti orang lain.

Tay berkata komuniti itu menerusi Persatuan Cina Sri Aman/Betong akan menghantar surat kepada Jabatan Pelajaran tidak lama lagi untuk memohon sekolah aliran Cina di Batang Ai.
Pada masa ini, ibu bapa berketurunan Cina terpaksa menghantar anak-anak mereka hanya ke sekolah rendah berasrama aliran Cina di kawasan berdekatan, Engkilili manakala Sekolah Kebangsaan Lubok Antu hanya menawarkan Mandarin sebagai satu subjek, katanya.

Beliau juga berkata penduduk sangat memerlukan hospital daerah dengan doktor tetap atau sekurang-kurangnya, kerajaan menaiktaraf klinik kesihatan sedia ada kerana pada masa ini mereka perlu melakukan perjalanan lebih satu jam ke Hospital Seri Aman jika mereka memerlukan rawatan lanjut.

Mengenai infrastruktur Lubok Antu, beliau berkata kompleks polis bernilai RM58.7 juta, yang dijangka siap pada Julai tahun ini dan dibina berdasarkan populasi dan pembangunan daerah, akan meningkatkan lagi tahap keselamatannya.

-- BERNAMA

No comments:

Post a Comment