Pilihanraya Kecil DUN N.29 Batang Ai, Sarawak

EXCLUSIVE : CONFESSIONS OF FORMER PAKATAN RAKYAT EXCO

Monday, April 6, 2009

Tindakan pemimpin PKR keluar parti tindakan mulia: KM

Ketua Menteri Pehin Sri Abdul Taib Mahmud menyifatkan tindakan empat pemimpin Parti Keadilan Rakyat (PKR) Julau yang keluar daripada parti semalam sebagai tindakan mulia.

Katanya, keputusan itu mungkin diambil selepas menyedari parti pembangkang tersebut tidak mempunyai hala tuju dan agenda yang jelas dalam memperjuangkan nasib rakyat.

“Bekas ahli PKR itu kini sedar hanya Barisan Nasional (BN) yang mampu membawa perubahan di semua kawasan, bukan sahaja Batang Ai.

“Perubahan fikiran mereka amat dialu-alukan oleh BN,” katanya kepada pemberita selepas majlis pecah tanah Pusat GiatMARA Lubok Antu di sini, semalam.

Beliau diminta mengulas mengenai tindakan kumpulan dipimpin Ketua Bahagian PKR Julau Dr Ambrose Labang Jamba, Timbalan Ketua Bahagian PKR Julau Wong Kee Kai, Setiausaha Rajang Unau dan Ahli Jawatankuasa Kundi Untung.

Mereka mengumumkan keputusan itu di bilik operasi BN di sini. Bagaimanapun mereka masih belum memilih parti komponen BN yang akan disertai kelak.

Sementara itu, Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) Dato Sri Dr James Masing berkata beliau gembira apabila Ambrose dan rakan-rakannya mengambil langkah bijak.

“Dia sekarang sedar PKR tidak ada harapan dan gagal membawa pembangunan. Kami alu-alukan jika dia ingin sertai BN,” katanya.

Presiden Parti Progresif Demokratik Sarawak (SPDP) Dato Sri William Mawan Ikom berkata, pintu parti pimpinannya terbuka luas kepada Ambrose.

“Jika mereka berhajat untuk berbuat demikian (menyertai SPDP) kita alu-alukan,” ujar beliau.

Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Datuk Amar Abang Johari Tun Openg berkata, keputusan ahli-ahli PKR itu amat signifikan dengan kempen pilihan raya kecil Batang Ai menghampiri kemuncaknya.

“Budaya politik PKR ternyata ditolak oleh masyarakat Sarawak. Malah pemimpin bahagian PKR sendiri kini sedar dengan kesilapan masa lampau,” katanya sambil mengalu-alukan keputusan mereka.

Bagi Timbalan Presiden PRS Datuk Joseph Entulu Belaun berkata, kini sudah terbukti perjuangan PKR tidak mendapat tempat dalam arena politik Sarawak.

“PKR mungkin sesuai atau diterima di Semenanjung (Malaysia) tetapi gagal memberi kesan positif kepada penduduk Sarawak,” katanya.

Borneo Post

No comments:

Post a Comment