Pilihanraya Kecil DUN N.29 Batang Ai, Sarawak

EXCLUSIVE : CONFESSIONS OF FORMER PAKATAN RAKYAT EXCO

Wednesday, April 1, 2009

Pembangunan menghantui benak Jawah

Jika menang sekalipun, memang tidak nampak jalan Jawah Gerang boleh menyelesaikan apa yang tidak boleh diselesaikannya selama lima penggal menjadi ahli Parlimen Lubok Antu kerana beliau kini adalah wakil pembangkang yang masih terumbang-ambing mencari tapak di Sarawak untuk kepentingan Anwar Ibrahim, pemimpin pembangkang dari Semenanjung yang kini berhadapan dengan satu demi satu masalah dalam partinya sendiri.

BASHIR AHMAD1 April 2009 LUBOK ANTU, Sarawak - Pembangunan kemudahan asas mungkin tidak menjadi isu utama di Bukit Gantang dan Bukit Selambau, tapi tidak di Batang Ai. Ini kerana kawasan pilihan raya kecil ini agak terpencil dan terletak di kawasan pedalaman. PKR yang meletakkan bekas ahli Parlimen lima penggal, Jawah Gerang sebagai calonnya telah memainkan isu pembangunan ini dengan menyalahkan BN sebagai gagal melaksanakan tanggungjawabnya.

Antara perkara yang dibangkitkan ialah bekalan elektrik dan jalan. Sebilangan kira-kira 3,000 orang Iban telah dipindahkan dari rumah-rumah panjang di kampung-kampung asal mereka ke kawasan penempatan baru berikutan pembinaan sebuah empangan haidro di Batang Ai yang siap tahun lalu. Disebabkan pentadbiran yang kurang efisien mengendalikan urusan penempatan semula ini, maka timbul pelbagai isu terutama mengenai tanah.

Sebilangan penduduk masih menunggu tanah yang dijanjikan. Sebilangan 40 peratus daripada 22,270 penduduk Batang Ai tinggal di 238 rumah panjang dan bergantung kepada sungai untuk tujuan pengangkutan. Sudah tentulah kerja menyalurkan elektrik melalui kabel akan menelan belanja besar. Ada rumah panjang yang menggunakan bekalan elektrik daripada empangan haidro mini yang mereka bina sendiri dan sebahagian lagi menggunakan jentera penjana. PKR mengeksploitasi isu ini sepenuhnya.

Malah sebaik-baik sahaja tarikh pilihan raya 7 April diumumkan, blog-blog PKR telah mengapi-apikan sentimen penduduk Batang Ai dengan menyatakan ``empangan haidro di Batang Ai, tapi aneh masih ramai pendudukannya belum dapat bekalan elektrik.'' Pemimpin de-facto PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan semasa lawatan-lawatannya ke Lubok Antu, pekan bagi kawasan Batang Ai, turut membangkitkan isu kemudahan asas dan mengambil kesempatan untuk menjolok perasaan pengundi dengan menyalahkan kerajaan negeri BN di atas kegagalan.

Salah satu isu yang dituntut oleh sebilangan penduduk yang dipindahkan semasa pembinaan empangan haidro ialah kononnya mereka telah dijanjikan bekalan elektrik percuma. BN menjawab isu ini melalui Timbalan Menteri Sains dan Teknologi, Fadillah Yusof yang datang berkempen di kawasan pengundi Melayu. Kata Fadillah kepada Bernama semalam dan kemudian disiarkan di muka depan oleh akhbar-akhbar di Sarawak hari ini, kerajaan tidak pernah menjanjikan elektrik percuma dan kerajaan tidak pernah membekalkan elektrik percuma ke mana-mana kawasan di Malaysia.

Beliau menjelaskan, kerajaan telah menyediakan perbelanjaan yang besar bagi membina infrastruktur untuk menyalurkan bekalan elektrik dan tidak adil jika elektrik juga diberikan percuma sedangkan kadar penggunaan adalah berbeza antara pengguna. Barangkali berlaku silap faham atau memang ada pihak yang dulu berbohong tentang bekalan elektrik percuma. PKR tidak akan membiarkan isu ini berakhir begitu sahaja.

Jentera kempen BN menangani isu ini dengan menyalahkan Jawah. Kata Presiden Parti Rakyat Sarawak (komponen BN), Dato Seri Dr. James Masing, calon PKR itu tidak menjalankan tanggungjawabnya semasa menjadi ahli Parlimen Lubok Antu (meliputi kawasan DUN Batang Ai) selama lima penggal yang lalu.

``Sudah tentulah sebagai ahli Parlimen beliau tidak mempunyai kuasa untuk memutuskan program pembangunan di Lubok Antu, tapi beliau sepatutnya melobi kuat supaya pembangunan di bawah ke kawasannya,'' kata Masing. Jawah menjawab, beliau tidak boleh dipersalahkan kerana beliau tidak menjadi Menteri sepanjang perkhidmatannya. Katanya, hanya Menteri (negeri Sarawak) yang boleh menentukan projek pembangunan dan mereka hanya membawa pembangunan ke kawasan masing-masing. Timbul soalan selanjutnya.

Jika semasa dalam BN pun Jawah tidak boleh membawa pembangunan ke kawasannya, bagaimana nanti jika beliau menang dan sekadar menjadi wakil rakyat PKR yang merupakan sebuah pembangkang kecil dengan mempunyai seorang wakil dalam Dewan Undangan Negeri setakat ini. Calon BN, Malcolm Mussen Jamoh yang akan berlawan satu lawan satu dengan Jawah menyedari tentang pentingnya isu pembangunan ini ditangani.

Dalam kempennya ke rumah-rumah panjang, Mussen Jamoh yang seorang Iban seperti Jawah, berjanji untuk menggunakan pengalamannya yang luas sebagai pegawai kerajaan berjawatan jurutera di Jabatan Pertanian untuk membawa pembangunan ke Batang Ai. Sudah pasti Mussen sedaya upaya akan terpaksa menunaikan janjinya. Jika tidak, BN akan menghadapi masalah yang lebih besar dalam pilihan raya negeri akan datang. Sebaliknya jika menang sekalipun, memang tidak nampak jalan Jawah boleh menyelesaikan apa yang tidak boleh diselesaikannya selama lima penggal menjadi ahli Parlimen Lubok Antu kerana beliau kini adalah wakil pembangkang yang masih terumbang-ambing mencari tapak di Sarawak untuk kepentingan Anwar Ibrahim, pemimpin pembangkang dari Semenanjung yang kini berhadapan dengan satu demi satu masalah dalam partinya sendiri.

Dua Adun PKR di Perak telah keluar parti dan menghadapi tuduhan rasuah; seorang lagi Adun wanita di Selangor masih bercuti panjang kerana dihantui isu gambar separuh bogel; seorang Adun PKR meletak jawatan di Bukit Selambau kerana masalah peribadi dan yang terbaru, seorang Adun PKR meletak jawatan Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang atas alasan yang samar kerana mahu menyambung pelajaran padahal beliau sedang disiasat oleh SPRM berhubung kes rasuah. - malaysiaaktif.com

No comments:

Post a Comment